Custom Search

Friday, April 25, 2008

Waspada Setiap Masa Benteng Lindungi Anak

Oleh Syahadatul Hafizah Abdullah

BERDASARKAN fakta sejak 1984 lalu, banyak peristiwa tragik dan menyayat hati membabitkan pembunuhan kejam, rogol dan penculikan berlaku. Dari 1984 hingga Februari 2006, sebanyak 87 kes rogol dan bunuh dilaporkan. Daripada jumlah itu, hanya 23 kes atau pun 26.4 peratus berjaya diselesaikan dan pesalah dijatuhi hukuman.

Kes seperti itu bagaikan tiada noktah. Misalnya, kita masih meratapi pemergian Nurin Jazlin Jazimin, kehilangan Sharlinie Mohd Nashar yang masih tidak tahu beritanya dan terbaru kes sadis Nurul Amira.

Apa yang berlaku kepada Nurin Jazlin adalah satu peristiwa yang mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan dialami kanak-kanak berusia 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi ibu bapa, adik beradik dan keluarga arwah Nurin Jazlin. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Pada 18 Mei 1999, Audrey Melissa Bathinathan, 17, dijumpai mati berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa dipukul di kepala, dirogol dan dijerut.

Mayat Noor Suzaily Mukhtar, 24, ditemui di Taman Bukit Tinggi, Klang pada 7 Oktober 2000. Mangsa dirogol dan dibunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan di taman itu. Pada 23 Oktober 2000, Nor Shuhada Borak, 6, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh.

Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001. Mangsa mati akibat dijerut menggunakan tali. Nurul Hanis Kamil dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001.

Norshakila Ramli Choo, 6, pula dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002, manakala seorang pelajar sekolah menengah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober 2002. Mangsa patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stoking dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan.

Pada 6 November 2002, Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, kanak-kanak berusia dua tahun diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus.

Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

Noritta Samsudin, 22 dijumpai mati di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2003. Mangsa dikatakan dirogol sebelum dibunuh. Pada 13 Jun 2003, Canny Ong Lay Kian dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Centre di ibu negara. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Januari 2004.

Pada 17 Januari 2004 seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal terbabit dalam keadaan mencangkung. Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dibunuh pada 23 November 2004, manakala Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9 tahun dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu pada 22 Disember 2004.

Masih ingatkah lagi apa yang berlaku kepada mereka ini? Sudah pasti kita masih ingat kerana kes itu mendapat liputan besar di media tempatan. Apabila kita membaca kisah Nurin Jazlin, misalnya ramai berasa sedih dan hiba, malah ada juga terkejut dan marah.

Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah berulangnya kes seumpama ini. Ketika ramai yang bercakap dan memberi pelbagai cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin, ironinya kes seumpama itu terus berlaku. Persoalannya bilakah pandangan dan cadangan membendung kes seperti itu boleh dilaksanakan? Bila pula kita akan mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu siapa selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?

Kita tidak boleh mengharapkan seratus peratus kepada pihak kerajaan, terutama polis untuk menghindar perbuatan kejam seperti itu. Kita, sebagai warga yang prihatin dan beradab harus sama-sama berusaha mengatasi dan mengelak kejadian seperti itu.

Paling tidak, pastikan anak kecil termasuk yang bersekolah agar sentiasa dalam keadaan selamat ketika bermain di luar rumah atau ketika pergi dan pulang dari sekolah. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada sepanjang masa sebelum terkena. Kita mahu terus tinggal di negara tercinta dalam aman dan selamat.

Penulis ialah Ketua Unit Media dan Penyelidikan Hal Ehwal Wanita & Mahasiswa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) - Berita Harian

0 Comments: